ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan:

"Anak dara" ertinya perempuan yang belum bernikah dan belum bersetubuh.

"Anak Taksahtaraf" ertinya anak luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"Balu" ertinya perempuan yang suaminya mati;

"Darar syarii" ertinya bahaya kepada suami atau isteri mengenai ugama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran dan hartabenda;

"Duda" ertinya lelaki yang isterinya mati;

"Fasakh" ertinya pembatalan nikah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 44 Enakmen ini;

"Hadhanah" ertinya hak penjagaan kanak-kanak di sisi Hukum Syarak;

"Hadhinah" ertinya perempuan yang berhak kepada hadhanah;

"Hakam" ertinya seorang yang dilantik untuk menjadi penimbangtara di bawah seksyen 40 (8);

"Janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan;

"Kadi" ertinya Kadi yang dilantik menurut seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah 1979;

"Kadi Besar" ertinya Kadi Besar atau Timbalan Kadi Besar yang dilantik di bawah seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah 1979;

"Kariah" dan "Kariah Masjid" mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Tahun 1962;

"Ketua Pendakwa" mempunyai erti yang diberi kepadanya mengikut seksyen 33;

"Maharmithil' ertinya maskahwin yang setanding;

"Mahkamah" mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1979;

"Majlis" mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh seksyen 4 di dalam Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam 1962;

"Maskahwin" ertinya satu balasan yang diberi oleh bakal suami kepada isteri semasa pernikahan;

"Mutaah" ertinya bayaran saguhati yang menasabah kepada isteri yang diceraikan;

"Mumaiyiz" ertinya seorang kanak-kanak yang telah mencapai umur 7 tahun;

"Nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah;

"Negeri" ertinya Negeri Kedah;

"Nikah" ertinya mengijabkabulkan lelaki dan perempuan sebagai suami isteri;

"Pemastautin" ertinya orang yang tinggal tetap atau pada lazimnya tinggal berumahtangga dalam suatu kawasan tertentu;

"Pemukim" ertinya orang yang tinggal sementara dalam suatu kawasan tertentu;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar, Pendaftar atau Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang dilantik di bawah seksyen 20 mengikut mana yang berkenaan;

"Pertalian Nikah" ertinya pertalian yang berasaskan pernikahan;

"Pertunangan" ertinya perjanjian untuk bernikah;

"Rujuk" ertinya kembali kepada taraf pernikahan asal;

"Saiyib" ertinya perempuan yang telah bersetubuh;

"Shiqaq" ertinya perbalahan yang tidak dapat dirungkai di antara suami isteri;

"Suluh" ertinya mencapai perdamaian di antara suami isteri;

"Sesusuan" ertinya hubungan kerana penyusuan oleh perempuan yang bukan ibukandung;

"Tahun" ertinya Tahun Hijrah;

"Taalik" ertinya lafaz yang dibuat oleh suami selepas pernikahan dan yang boleh mengakibatkan perceraian;


"Wali" ertinya penjaga sah seorang perempuan yang akan dikahwin;

"Wali Mujbir" ertinya bapa atau datuk sebelah bapa ke atas;

"Wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Raja untuk menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali.

"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Jabatan Hal Ehwal Ugama Kedah menurut seksyen 11 (2) Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam 1962.

(2) Perkataan dan perbahasan yang memberi erti lelaki termasuklah perempuan.

(3) Perkataan dan perbahasan dalam bilangan tunggal termasuklah bilangan banyak dan perkataan dan perbahasan dalam bilangan banyak termasuklah bilangan tunggal.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.