ENAKMEN 3 TAHUN 1992
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1992

BAHAGIAN III - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA-KUASA MENYIASAT
BAB VI



Seksyen 58. Pemeriksaan saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama.

(1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh memeriksa dengan lisan mana-mana orang yang dikatakan mengetahui fakta-fakta dan hal-keadaan kes itu dan hendaklah menurunkan dalam tulisan apa-apa penyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian itu.

(2) Orang tersebut hendaklah terikat untuk menjawab segala soalan berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai itu;

Dengan syarat orang itu boleh enggan untuk menjawab apa-apa soalan yang mana jawapannya akan mungkin mempunyai tendensi untuk mendedahkannya kepada suatu tuduhan jenayah atau penalti atau lucuthak.

(3) Seseorang yang membuat sesuatu pernyataan di bawah seksyen ini hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan dengan benar sama ada keseluruhan atau sebahagian daripada penyataan itu dibuat bagi menjawab soalan.

(4) Seorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan kepada orang itu peruntukan subseksyen (2) dan (3).

(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah seberapa boleh diambil secara bertulis dan ditandatangani atau dicap jari di hadapan dua orang saksi oleh orang yang membuatnya, mengikut mana berkenaan, selepas pernyataan itu dibacakan kepadanya di dalam bahasa yang ia telah dibuat dan selepas dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia kehendaki.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.