ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“anak dara” ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

“balu” ertinya seseorang perempuan yang suaminya telah mati;

“bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

darar syari’e” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut yang biasanya diakui oleh Hukum Syarak;

“duda” ertinya seseorang lelaki yang isterinya telah mati;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 [En. No. 10/2003.];

fasakh” ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

“Hakim Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 57(1) Enakmen Pentadbiran;

“Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 58(1) atau 59(1) Enakmen Pentadbiran;

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hambali, Hanafi atau Maliki;

iqrar” ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

“janda” ertinya seseorang perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

“kariah masjid”, berhubung dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan yang sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 86 Enakmen Pentadbiran yang di dalamnya masjid itu terletak;

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 78(1) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen 43(3) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“mas kahwin” ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

mut’ah” ertinya bayaran sagu hati yang diberikan dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

“nasab” ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

“Negeri” termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;

“Peguam Syarie” ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;

“pemberian” ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

“ruju’ ” ertinya kembali kepada nikah yang asal;

“sesusuan” ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

ta’liq” ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

“tidak sah taraf” berhubung dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah;

“wali Mujbir” ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas;

“wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal mana-mana Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388.]masing-masing mempunyai pengertian yang diberikan kepadanya dalam Bahagian itu setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertuan Besar melalui perintah boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.