ENAKMEN 3 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI SELANGOR) 2003

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 2 - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 19. Enggan memberikan nama dan kediaman.

(1) Apabila mana-mana orang melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dan enggan, apabila dikehendaki oleh pegawai itu, untuk memberikan nama dan kediamannya atau memberikan nama atau kediaman yang pegawai itu ada sebab untuk mempercayai adalah palsu, dia boleh ditangkap oleh pegawai itu untuk membolehkan nama dan kediamannya ditentukan, dan dia hendaklah, dalam masa dua puluh empat jam dari waktu dia ditangkap, tidak masuk masa yang diperlukan bagi perjalanan dari tempat penangkapan itu, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat melainkan jika sebelum itu nama dan kediamannya yang sebenar telah ditentukan dan dalam hal sedemikian orang itu hendaklah dilepaskan dengan serta-merta apabila dia menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian.

(2) Apabila mana-mana orang dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di bawah subseksyen (1), Hakim itu boleh sama ada menghendaki dia menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.

(3) Apabila mana-mana orang di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap dan apabila dikehendaki oleh pegawai itu supaya memberikan nama dan kediamannya, memberikan sebagai kediamannya, suatu tempat di luar Negeri Selangor, dia boleh ditangkap oleh pegawai itu dan hendaklah dengan serta-merta dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat yang boleh menghendakinya supaya menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.