ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan Kepada Perkahwinan



Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin

(1) Apabila sesuatu perkahwinan dikehendaki untuk diakadnikahkan di dalam Negeri Sembilan tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika lelaki itu bermastautin di kariah masjid yang berlainan daripada kariah masjid perempuan itu, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi kebenaran serta pernyataan Pendaftar bagi daerah atau oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan setiap satu pihak berserta Sijil Kursus Praperkahwinan Islam yang diiktirafkan hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana hal tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.