ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004
BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG
Seksyen 32. Peraturan-peraturan tatatertib
(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat peraturan-peraturan untuk mengadakan peruntukan bagi tatatertib pegawai dan pekhidmatnya.
(2) Peraturan-peraturan tatatertib yang dibuat di bawah seksyen ini—
(a)
boleh mewujudkan kesalahan tatatertib;
(b)
boleh mengadakan peruntukan bagi hukuman tatatertib yang difikirkan sesuai oleh Majlis dan hukuman itu boleh meliputi—
(i) amaran;
(ii) denda;
(iii) pelucuthakan emolumen;
(iv) penangguhan pergerakan gaji;
(v) pengurangan gaji;
(vi) penurunan pangkat; dan
(vii) buang kerja;
(c)
hendaklah memberikan peluang kepada pegawai dan pekhidmat yang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil untuk membuat representasi terhadap pertuduhan tatatertib yang dibuat terhadapnya sebelum keputusan dicapai oleh jawatankuasa tatatertib kecuali dalam hal-hal yang berikut:
(i) jika seseorang pegawai atau pekhidmat dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan salah laku yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadapnya;
(ii) jika Majlis, atas syor Menteri yang dipertanggungkan dengan hal ehwal dalam negeri, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya adalah tidak suaimanfaat untuk menjalankan kehendak perenggan ini; atau
(iii) jika telah—
(A) dibuat terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran; atau
(B) dikenakan terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya,
di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya, pencegahan jenayah, tahanan pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau pelindungan wanita dan gadis atau kanak-kanak;
(d)
boleh mengadakan peruntukan bagi penahanan kerja dengan pengurangan emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat semasa menanti selesainya prosiding jenayah terhadapnya dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat; dan
(e)
boleh mengadakan peruntukan bagi penggantungan tanpa emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat—
(i) jika pegawai atau pekhidmat itu telah disabitkan oleh suatu mahkamah jenayah; atau
(ii) jika suatu perintah tahanan atau sekatan telah dikenakan ke atas pegawai atau pekhidmat itu; dan
(f)
boleh mengadakan peruntukan bagi tatacara pendengaran rayuan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib yang ditubuhkan di bawah seksyen 33.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.