ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, yang mengandungi—


(2) Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah hendaklah menyebabkan suatu saman disampaikan kepada pihak yang satu lagi itu bersama dengan suatu salinan permohonan itu yang dibuat oleh pemohon itu, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3) Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah berpecah belah sehingga tidak dapat diselamatkan lagi, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.

(4) Mahkamah hendaklah merekodkan hal satu talaq itu, dan hendaklah menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(5) Jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin melantik suatu jawatankuasa pendamai yang terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.

(6) Dalam melantik dua orang itu di bawah subseksyen (5), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara mara rapat pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(7) Mahkamah boleh memberikan arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai itu tentang hal menjalankan perdamaian itu dan jawatankuasa itu hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu.

(8) Jika jawatankuasa itu tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati tentang penjalanan perdamaian itu olehnya, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa yang lain bagi menggantikannya.

(9) Jawatankuasa itu hendaklah berusaha untuk mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh dibentuk atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10) Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak itu hadir dan hendaklah memberi setiap daripada mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkannya patut dan boleh, jika difikirkannya perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.

(11) Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup bersama semula sebagai suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal yang demikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan perkara-perkara lain berhubung dengan perkahwinan itu.

(12) Tiada Peguam Syarie boleh hadir atau bertindak bagi mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada suatu pihak boleh diwakili oleh mana-mana orang, selain oleh seorang anggota keluarganya yang rapat, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13) Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup bersama semula sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu.

(14) Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan bahawa jawatankuasa itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup bersama semula sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah membenarkan suami yang berkenaan itu untuk melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak boleh mendapatkan kehadiran suami itu di hadapan Mahkamah untuk melafazkan satu talaq, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq, maka Mahkamah hendaklah merujukkan kes itu kepada Hakam untuk tindakan mengikut seksyen 48.

(15) Kehendak subseksyen (5) tentang rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak terpakai dalam mana-mana hal—


(16) Sesuatu talaq raj’i yang dilafazkan oleh suami melainkan jika dibatalkan terlebih dahulu, sama ada secara nyata atau tafsiran, atau dengan perintah Mahkamah, tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga habis tempoh ‘iddah.

(17) Jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga berakhir kehamilan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.