ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG



Seksyen 4. Penubuhan Majlis

(1) Maka hendaklah ada suatu badan bernama “Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang” untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

(2) Apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang wujud sebelum permulaan kuat kuasa itu menurut kuasa Enakmen terdahulu hendaklah disifatkan sebagai Majlis yang disebut dalam subseksyen (1).

(3) Segala hak, kuasa, kewajipan dan tanggungan yang sebelum Bahagian ini mula berkuat kuasa adalah terletak hak atau dipertanggungkan pada Majlis terdahulu hendaklah apabila Enakmen ini mula berkuat kuasa terletak hak dan dipertanggungkan pada Majlis, setakat mana ianya tidak bertentangan dengan peruntukan-peruntukan Enakmen ini.

(4) Segala jenis harta, alih dan tak alih, yang sebelum Enakmen ini mula berkuat kuasa, adalah terletak hak pada Majlis terdahulu hendaklah, apabila Bahagian ini mula berkuat kuasa, terletak hak pada Majlis tanpa dipindahkan, diserahhakkan atau dipindahmilikkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.