ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 49. Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq

(1) Jika suami tidak bersetuju untuk menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu untuk melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tidak boleh dirujukkan.

(2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan mengambil kira taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

(4) Jika suami tidak bersetuju untuk bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana yang diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah terpakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.