ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 54. Anggapan mati

(1) Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syarak sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan, suatu perakuan anggapan kematian suami itu dan Mahkamah boleh atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi fasakh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 53.

(2) Suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai perakuan kematian suami itu dalam pengertian perenggan 14(4)(b).

(3) Dalam hal keadaan yang disebut dalam subseksyen (1), seseorang perempuan tidak berhak untuk berkahwin semula tanpa suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) walaupun Mahkamah Tinggi mungkin telah memberi kebenaran untuk menganggap suami itu telah mati.

(4) Perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah didaftarkan seolah-olah perakuan itu telah mewujudkan perceraian.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.