ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Pelantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam

(1) Yang di-Pertuan Besar, dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar, Tampin, boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang hendaklah menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju’ di bawah Enakmen ini.

(2) Yang di-Pertuan Besar dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar, Tampin, boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid di dalam Negeri Sembilan sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan itu.

(3) Yang di-Pertuan Besar, dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar, Tampin boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota kakitangan diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Yang di-Pertuan Besar, dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar, Tampin, boleh melantik Ketua Pendaftar dan Pendaftar sebagai Wali Raja mengikut sempadan bidang kuasa sebagaimana yang ditetapkan.

(5) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan[Akta 574.].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.