ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 2 - PENANGKAPAN, MELARIKAN DIRI DAN PENANGKAPAN SEMULA



Seksyen 19. Keengganan memberi nama dan tempat tinggal.

(1) Apabila mana-mana orang dalam kehadiran Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis, melakukan atau dituduh melakukan kesalahan tak boleh tangkap dan apabila diminta oleh pegawai itu, enggan memberi nama atau alamat tempat tinggalnya atau memberi nama atau tempat tinggal yang mana pegawai itu ada sebab untuk mempercayai adalah palsu, maka dia bolehlah ditangkap oleh pegawai itu untuk menentukan nama dan tempat tinggalnya, dan dia hendaklah, dalam tempoh dua puluh empat jam dari masa orang itu ditangkap tanpa dikira masa yang perlu bagi perjalanan dari tempat dia ditangkap, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang hampir sekali melainkan jika sebelum tempoh masa itu nama dan tempat tinggal yang betul dapat ditentukan, dan dalam keadaan sedemikian orang itu hendaklah dilepaskan dengan serta merta selepas dia melakasanakan bon bagi kehadirannya di hadapan Hakim jika dikehendaki.

(2) Apabila orang itu dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di bawah subseksyen (1), maka Hakim itu bolehlah meminta orang itu melaksanakan bon, dengan penjamin,bagi kehadirannya di hadapan seorang Hakimjika dikehendaki sedemikian, ataupun boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia dibicarakan.

(3) Apabila mana-mana orang melakukan atau dituduh melakukan kesalahan yang tak boleh ditangkap dengan kehadiran Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dan apabila diminta oleh pegawai itu supaya memberi nama dan tempat tinggalnya, memberi alamat tempat tinggalnya di luar Negeri Pulau Pinang, dia bolehlah ditangkap oleh pegawai itu dan hendaklah dengan serta-merta dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang hampir sekali yang boleh menghendakinya supaya melaksanakan bon dengan penjamin, bagi kehadirannya di hadapan Hakim jika dikehendaki atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia dibicarakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.