ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN VI - KEWANGAN
Baitulmal dan Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 82. Anggaran pendapatan dan belanjawan

(1) Majlis hendaklah, menyediakan dan menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak lewat daripada tiga puluh satu haribulan Oktober dalam setiap tahun, anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya anggaran itu dipinda.

(3) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (2), hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum tiga puluh satu haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan, mengikut subseksyen (2) dan (3).

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut apa-apa anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucar yang ditandatangani oleh Yang di-Pertua atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertua.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.