ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 2 - PENANGKAPAN, MELARIKAN DIRI DAN PENANGKAPAN SEMULA



Seksyen 11. Memeriksa tempat yang dimasuki oleh orang yang hendak ditangkap.

(1) Jika mana-mana orang yang bertindak di bawah waran penangkapan atau mana-mana juga Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang berkuasa menangkap, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana-mana tempat, maka orang yang tinggal di dalam atau yang menjaga tempat itu hendaklah, atas permintaan orang yang bertindak seperti yang tersebut dahulu atau atas permintaan Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu, membenarkan dia masuk dengan bebas ke dalam tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk menggeledah tempat itu.

(2) Jika tidak dapat masuk ke dalam tempat itu menurut peruntukan subseksyen (1), maka adalah sah, bagi orang yang bertindak di bawah waran dalam mana-mana kes dan dalam mana-mana kes di mana waran boleh dikeluarkan tetapi tidak dapat diperolehi tanpa memberi peluang kepada orang yang ditangkap untuk melepaskan diri, bagi Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu masuk ke dalam dan menggeledah tempat itu, dan untuk membolehkannya masuk ke dalam tempat itu, bolehlah dia memecahkan mana-mana pintu luar atau dalam atau tingkap di mana-mana tempat sama ada dipunyai oleh orang yang hendak ditangkap itu atau oleh orang lain, jika, selepas pemberitahuan kuasa dan tujuannya serta permintaan supaya dibenarkan dia masuk dibuat dengan wajarnya, dia tidak dapat dengan cara lain masuk ke tempat itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.