ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003
BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 74. Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak
(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki untuk membayar nafkah bagi faedah mana-mana anaknya—
(a)
jika dia enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b)
jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c)
dalam masa menanti keputusan apa-apa prosiding hal ehwal suami isteri;
(d)
apabila membuat atau selepas membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan mana-mana orang lain; atau
(e)
apabila memberi lelaki itu kebenaran untuk berpoligami di bawah seksyen 23.
(2) Mahkamah juga berkuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak supaya membayar atau memberikan sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.
(3) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang-pemegang amanah bagi anak itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.