ENAKMEN 4 TAHUN 2001
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2001


Seksyen 4. Tafsiran

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“ahli Majlis” ertinya mana-mana orang yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

“emolumen” ertinya apa-apa saraan, termasuklah gaji, pemberian tetap, pembayaran insentif dan elaun bulanan, yang kena dibayar kepada seseorang pegawai setiap bulan;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 [En. 2/1992];

“gaji” ertinya gaji pokok seseorang pegawai;

“Jawatankuasa Rayuan Tatatertib” ertinya jawatankuasa yang disebut dalam seksyen 7;

“Jawatankuasa Tatatertib” ertinya jawatankuasa yang disebut dalam seksyen 6;

“Kaedah-Kaedah” ertinya Kaedah-Kaedah dalam Jadual Pertama;

“kesalahan tatatertib” ertinya pelanggaran mana-mana peruntukan tatakelakuan yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah dan termasuklah apa-apa perbuatan atau peninggalan yang berkenaan dengannya tindakan tatatertib boleh diambil di bawah Kaedah-Kaedah;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran;

“pegawai” ertinya seseorang yang diambil bekerja secara tetap, sementara atau kontrak oleh Majlis, dan dibayar emolumen oleh Majlis, dan termasuklah seseorang yang dipinjamkan ke mana-mana syarikat Majlis atau mana-mana jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan atau Negeri;

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Majlis yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.