ENAKMEN 4 TAHUN 2001
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2001


JADUAL KEDUA (Bahagian I)
KEANGGOTAAN DAN BIDANG KUASA JAWATANKUASA TATATERTIB DAN JAWATANKUASA RAYUAN TATATERTIB
BAHAGIAN I - JAWATANKUASA TATATERTIB

Penubuhan Jawatankuasa Tatatertib

1. Hendaklah ditubuhkan bagi Majlis Jawatankuasa Tatatertib yang terdiri daripada anggota yang berikut:

Bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib

2. Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mempunyai bidang kuasa atas semua perkara yang berhubungan dengan kelakuan dan tatatertib setiap pegawai.

Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mematuhi Kaedah-Kaedah

3. Dalam menjalankan fungsinya di bawah Enakmen ini, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mematuhi Kaedah-Kaedah dalam Jadual Pertama.

Pengisytiharan kepentingan

4. (1) Jika Pengerusi atau mana-mana anggota Jawatankuasa Tatatertib mempunyai apa-apa kepentingan dalam mana-mana prosiding tatatertib, dia hendaklah mengisytiharkan jenis kepentingan itu dan perisytiharan itu hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat yang dalamnya pengisytiharan itu telah dibuat.

(2) Pengerusi atau mana-mana anggota sesuatu Jawatankuasa Tatatertib yang mempunyai kepentingan dalam mana-mana prosiding tatatertib tidak boleh mengambil bahagian dalam pertimbangtelitian atau keputusan Jawatankuasa Tatatertib itu dalam prosiding itu.

Pelantikan anggota ganti

5. Majlis boleh, atas sebab-sebab yang hendaklah direkodkan, melantik mana-mana ahli Majlis untuk bersidang sebagai Pengerusi atau anggota Jawatankuasa Tatatertib bagi menggantikan Pengerusi atau anggota lain dalam mana-mana prosiding tatatertib terhadap seseorang pegawai.

Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib

6. (1) Bagi maksud melaksanakan fungsinya, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah bermesyuarat pada tarikh dan di tempat dan pada masa yang ditetapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

(2) Setiap mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib hendaklah dihadiri oleh semua anggota Jawatankuasa Tatatertib.

Pengundian dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib

7. Semua soalan yang dibangkitkan dalam mensyuarat Jawatankuasa Tatatertib hendaklah diputuskan melalui undi majoriti, dan jika bilangan undi sama banyak, maka Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus.

Rekod mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib

8. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib hendaklah memastikan bahawa rekod tiap-tiap prosiding tatatertib dan minit tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib itu disimpan dengan sempurna.

Jawatankuasa Tatatertib boleh menghendaki penyiasatan dijalankan

9. (1) Sebelum membuat apa-apa keputusan tentang apa-apa perkara yang Jawatankuasa Tatatertib itu dikehendaki memutuskannya dalam mana-mana prosiding tatatertib, Jawatankuasa Tatatertib boleh menyebabkan suatu penyiasatan dijalankan oleh suatu jawatankuasa penyiasatan bagi maksud mendapatkan penjelasan, penerangan atau perakuan berkenaan dengan perkara itu.

(2) Suatu jawatankuasa penyiasatan hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada dua orang ahli Majlis.

(3) Tatacara penyiasatan yang diperuntukkan berkenaan dengan Jawatankuasa Penyiasatan dalam Kaedah-Kaedah dalam Jadual Pertama hendaklah terpakai bagi sesuatu jawatankuasa penyiasatan yang menjalankan penyiasatan di bawah perenggan ini.

Keputusan Jawatankuasa Tatatertib hendaklah diberitahukan kepada pegawai

10. Jawatankuasa Tatatertib hendaklah memastikan bahawa keputusannya dalam mana-mana prosiding tatatertib diberitahukan secara bertulis kepada pegawai yang menjadi subjek prosiding tatatertib itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.