ENAKMEN 11 TAHUN 1998
ENAKMEN PERBADANAN BAITULMAL 1998


Jadual Kedua

Tugas, kuasa atau hak subsidiari Perbadanan.

1. Tiada apa-apa juga dalam seksyen 12 boleh disifatkan sebagai memberi kuasa kepada Perbadanan membuat peraturan untuk menubuhkan apa-apa subsidiari Perbadanan yang mempunyai apa-apa tugas, kuasa atau hak yang tidak termasuk di dalam tugas, kuasa, atau hak Perbadanan di bawah Enakmen ini.

Subsidiari Perbadanan terikat dengan peraturan.

2. Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini dan apa-apa peraturan yang dibuat di bawah seksyen 12, mana-mana subsidiari Perbadanan hendaklah terikat kepada apa-apa peraturan yang dibuat berkenaan dengannya dan peraturan itu hendaklah berkuatkuasa bagi segala maksud seolah-olah peraturan itu telah diperbuat dalam Enakmen ini.

Pindaan Peraturan.

3. Perbadanan boleh, dengan kebenaran Majlis, pada bila-bila masa meminda, membatalkan atau membuat tambahan kepada mana-mana peraturan yang dibuat berkenaan dengan mana-mana subsidiari Perbadanan di bawah seksyen 12.

Daftar subsidiari Perbadanan.

4. Perbadanan hendaklah menyimpan suatu daftar mengenai semua subsidiari Perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 12 dan daftar itu bersama dengan segala peraturan yang dibuat di bawah seksyen 12 hendaklah terbuka untuk diperiksa oleh orang awam di tempat atau tempat-tempat yang berkenaan dan pada masa yang berkenaan sebagaimana yang boleh ditetapkan oleh Perbadanan.

Penggulungan.

5. (1) Perbadanan baleh dengan kebenaran Menteri dengan perintah yang disiarkan dalam warta mengarahkan supaya mana-mana subsidiari Perbadanan yang ditubuhkan olehnya, digulung dan dibubar.

(2) Apabila sesuatu subsidiari Perbadanan digulung atau dibubarkan di bawah perenggan ini, aset subsidiari Perbadanan itu hendaklah dipindahkan dan diletakhak pada Perbadanan setelah segala tanggungan ditunaikan.

(3) Penggulungan mana-mana subsidiari Perbadanan di bawah perenggan ini hendaklah dijalankan dengan cara yang berkenaan sebagaimana yang baleh ditetapkan oleh Perbadanan.

Pertubuhan Perbadanan.

6. Tiap-tiap subsidiari Perbadanan yang ditubuhkan oleh Perbadanan hendaklah merupakan suatu pertubuhan perbadanan dan hendaklah kekal turun temurun dan mempunyai suatu meterai am dan bagi maksud menunaikan tugasnya dan melaksanakan fungsinya, boleh mengikat kontrak dan boleh memegang, berniaga atau membuat apa-apa urusan berkenaan dengan apa-apa harta alih atau harta tak alih dan boleh melakukan segala perkara dan benda lain yang berkenaan yang tidak berlawanan dengan peruntukan Enakmen ini, bersampingan atau berkaitan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan, dan tertakluk kepada sekatan atau batasan yang berkenaan sebagaimana yang boleh ditetapkan oleh Perbadanan dalam tiap-tiap satunya.

Meterai.

7. (1) Setiap subsidiari Perbadanan hendaklah mempunyai meterai yang hendaklah mengandungi rekabentuk yang subsidiari Perbadanan, dengan kelulusan Perbadanan, boleh luluskan dan meterai tersebut boleh dari semasa ke semasa dipatahkan, ditukar, diubah atau dibuat baru seperti yang difikirkan patut oleh subsidiari Perbadanan, dengan kelulusan Perbadanan.

(2) Sehingga sesuatu meterai diperuntukkan oleh subsidiari Perbadanan, suatu cap yang mengandungi nama subsidiari Perbadanan boleh digunakan dan hendaklah disifatkan sebagai meterai subsidiari Perbadanan.

(3) Meterai itu hendaklah disimpan dalam jagaan orang yang berkenaan yang diberikuasa oleh subsidiari Perbadanan, dan hendaklah diperakui oleh orang berkenaan; dan semua suratikatan, dokumen dan suratcara lain yang berupa sebagai dimeterai dengan meterai tersebut, diperakui seperti yang tersebut terdahulu, hendaklah, sehingga dibuktikan sebaliknya, disifatkan telah disempurnakan dengan sah di sisi undang-undang:

Dengan syarat bahawa apa-apa dokumen atau suratcara yang, jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan suatu pertubuhan perbadanan, tidak dikehendaki untuk dimeterai boleh disempurnakan dengan cara yang serupa oleh subsidiari Perbadanan; dan apa-apa dokumen atau suratcara berkenaan boleh disempurnakan bagi pihak subsidiari Perbadanan oleh mana-mana pegawai atau pengkhidmat subsidiari Perbadanan yang diberikuasa secara am atau khusus oleh subsidiari Perbadanan untuk itu.

(4) Meterai setiap subsidiari Perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.




DIPERAKUKAN oleh saya sebagai salinan Rang Undang-Undang yang tulen yang telah diluluskan oleh Majlis Dewan Undangan Negeri pada hari Selasa, 17 November, 1998.
DATUK FRANCIS T.N. YAP,
Timbalan Speaker,
Dewan Undangan Negeri.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.