ENAKMEN 4 TAHUN 2001
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2001


JADUAL KEDUA (Bahagian II)
BAHAGIAN II
JAWATANKUASA RAYUAN TATATERTIB

Penubuhan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

11. (1) Hendaklah ditubuhkan bagi Majlis Jawatankuasa Rayuan Tatatertib yang terdiri daripada–

(2) Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib.

Bidang kuasa Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

12. Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk menerima, menimbangkan dan memutuskan apa-apa rayuan yang dikemukakan oleh seseorang pegawai terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib.

Pengisytiharan kepentingan

13. (1) Jika Pengerusi atau mana-mana anggota Jawatankuasa Rayuan Tatatertib mempunyai apa-apa kepentingan dalam mana-mana rayuan yang dibawa di hadapan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib, dia hendaklah mengisytiharkan jenis kepentingan itu dan perisytiharan itu hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat yang dalamnya pengisytiharan itu telah dibuat.

(2) Pengerusi atau mana-mana anggota Jawatankuasa Rayuan Tatatertib yang mempunyai kepentingan dalam mana-mana rayuan yang dibawa di hadapan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib itu tidak boleh mengambil bahagian dalam pertimbangtelitian atau keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib berhubung dengan rayuan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

14. (1) Bagi maksud melaksanakan fungsinya, Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah bermesyuarat pada tarikh dan di tempat dan pada masa yang ditetapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib.

(2) Setiap mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah dihadiri oleh semua anggota Jawatankuasa Rayuan Tatatertib.

Pengundian dalam mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

15. Semua soalan yang dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah diputuskan melalui undi majoriti, dan jika bilangan undi sama banyak, maka Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus.

Rekod mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

16. Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah memastikan bahawa rekod tiap-tiap prosiding rayuan tatatertib dan minit tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib itu disimpan dengan sempurna.

Tatacara rayuan

17. (1) Sesuatu rayuan oleh mana-mana pegawai yang telah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib hendaklah dibuat secara bertulis, melalui Setiausaha, kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib dalam tempoh empat belas hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Tatatertib disampaikan kepadanya.

(2) Setiausaha hendaklah, tidak lewat daripada empat belas hari dari tarikh dia menerima rayuan itu, mengemukakan rayuan itu kepada Jawatankuasa Tatatertib.

(3) Dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh Jawatankuasa Tatatertib menerima rayuan dan ulasan Setiausaha itu, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah menyebabkan satu salinan rekod prosiding tatatertib terhadap pegawai itu dihantar kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib berserta dengan alasan-alasan keputusannya.

(4) Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib boleh melanjutkan tempoh yang dinyatakan dalam subperenggan (1), (2) dan (3) atas permohonan pegawai yang berkenaan dan apabila sebab-sebab yang mencukupi diberikan.

Pendengaran rayuan

18. (1) Sebaik selepas menerima dokumen rayuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam perenggan 17, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah mengadakan suatu mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib untuk menimbangkan rayuan itu.

(2) Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah memutuskan tiap-tiap rayuan semata-mata berdasarkan merit alasan rayuan itu tanpa menerima apa-apa pernyataan lanjut atau keterangan tambahan.

(3) Walau apa pun subperenggan (2), Jawatankuasa Rayuan Tatatertib itu boleh, jika difikirkannya adil dan perlu, dan tertakluk kepada hak pegawai itu untuk didengar, meminta apa-apa pernyataan lanjut atau keterangan tambahan daripada mana-mana orang lain.

Keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

19. (1) Dalam menimbangkan rayuan di bawah perenggan 18 terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib, Jawatankuasa Rayuan Tatatertib boleh–
(2) Keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib adalah muktamad.

Pegawai hendaklah diberitahu mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

20. Dengan seberapa segera yang praktik selepas membuat keputusannya di bawah perenggan 19 atas suatu rayuan yang dibuat oleh seseorang pegawai, Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah memberitahu pegawai itu mengenai keputusan itu.

Diluluskan pada 30 Julai 2001.
[PSUK.PK.(MAJ) A355/737/1 Jld.2; PU.PK. 40/2001.].
HAJI SHARAIDIN BIN TAKIN
Setiausaha,
Dewan Negeri,
Perak Darul Ridzuan




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.