ENAKMEN 4 TAHUN 2001
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2001


JADUAL PERTAMA (Bahagian VIII)
BAHAGIAN VIII - PELBAGAI

Butir-butir kesalahan dan hukuman hendaklah dicatatkan

52. Tiap-tiap tindakan tatatertib yang diambil terhadap seseorang pegawai yang berkeputusan dengan suatu hukuman dikenakan ke atas pegawai itu di bawah Kaedah-Kaedah ini hendaklah dicatatkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai itu dengan menyatakan butir-butir kesalahan yang telah dilakukan dan hukuman yang telah dikenakan.

Penyampaian notis, dokumen, dsb.

53. (1) Tiap-tiap pegawai hendaklah memberi Setiausaha alamat kediamannya atau apa-apa perubahan alamat itu dan alamat itu hendaklah menjadi alamatnya bagi maksud menyampaikan kepadanya apa-apa notis atau dokumen yang dikehendaki disampaikan di bawah Kaedah-Kaedah ini atau bagi maksud berkomunikasi dengannya mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan Kaedah-Kaedah ini.

(2) Apa-apa notis, dokumen atau komunikasi yang ditinggalkan di atau diposkan ke atau dihantar dengan apa-apa cara lain yang munasabah ke alamat bagi penyampaian yang diberikan di bawah subkaedah (1) hendaklah disifatkan telah disampaikan atau diberitahukan dengan sewajarnya kepada pegawai itu.

Tandatangan pada surat dan persuratan lain

54. Apa-apa surat-menyurat antara Jawatankuasa Tatatertib dengan pegawai yang tertakluk kepada tindakan tatatertib hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib atau oleh mana-mana anggota Jawatankuasa Tatatertib bagi pihak Pengerusi.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.