ENAKMEN 4 TAHUN 2001
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (TATATERTIB DAN SURCAJ) 2001


Seksyen 8. Penamatan perkhidmatan

(1) Jika Majlis mendapati atau jika representasi dibuat kepada Majlis bahawa adalah wajar perkhidmatan seseorang pegawai ditamatkan demi kepentingan awam, Majlis boleh mengarahkan pegawai atasan kepada pegawai yang terhadapnya representasi itu dibuat supaya mengemukakan kepada Majlis suatu laporan lengkap yang hendaklah mengandungi butir-butir yang berhubungan dengan kerja dan kelakuan pegawai itu, dan ulasan Setiausaha.

(2) Majlis boleh, dalam keadaan di mana tiada pegawai atasan kepada pegawai yang terhadapnya representasi itu dibuat, mengarahkan Setiausaha supaya mengemukakan kepada Majlis suatu laporan lengkap dan ulasan yang disebut dalam subseksyen (1).

(3) Jika, selepas menimbangkan laporan dan ulasan yang dikemukakan di bawah subseksyen (1) atau (2), Majlis berpuashati bahawa, dengan mengambil kira syarat-syarat perkhidmatan, kerja, kelakuan dan kebergunaan pegawai itu dan semua keadaan lain kes, adalah wajar demi kepentingan awam untuk berbuat demikian, Majlis boleh menamatkan perkhidmatan pegawai itu mulai dari tarikh yang hendaklah ditentukan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.