ENAKMEN 8 tahun 2008
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH (KEDAH DARUL AMAN) 2008
Seksyen 13. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Walau apapun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa berkaitan dengan pentadbiran undang-undang
Islam, undang-undang keluarga Islam, tatacara jenayah syariah, kesalahan jenayah syariah, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubung dengan—
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (mufaraqah) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri;
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) anak-anak;
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazr;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;
(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masing berhak;
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
(xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; atau
(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.