ENAKMEN 3 TAHUN 2005
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2005

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“anak dara” ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

“baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

“balu” ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

“bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

“duda” ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 [Enakmen No. 3 tahun 1991];

“fasakh” ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut
seksyen 53;

“Hakim Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah seksyen 54
Enakmen Pentadbiran;

“Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 43(1) atau seksyen 45 Enakmen Pentadbiran;

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali;

“‘iddah” ertinya suatu tempoh dalam masa mana seseorang perempuan yang telah bercerai atau telah mati suaminya dilarang
oleh Hukum Syarak untuk berkahwin lagi;

“iqrar” ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa
dia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

“janda” ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

“kariah masjid”, berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, sempadan yang ditetapkan di bawah seksyen 91 Enakmen Pentadbiran;

“Ketua Pendaftar” ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 65(1) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang
ditubuhkan di bawah seksyen 42 Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 42 Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam MelayuPahang yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran;

“mas kahwin” ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa
perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

“mut’ah” ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

“nasab” ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

“Negeri” termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;

“nusyuz” ertinya suatu tindakan isteri terhadap suaminya yang dianggap durhaka mengikut Hukum Syarak;

“Pegawai Agama” ertinya Pegawai Agama Islam Daerah atau Pegawai Hal Ehwal Agama Islam;

“Peguam Syarie” ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 66 Enakmen Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;

“pemberian” ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada
masa perkahwinan;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan
termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu
tidak sah atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

“ruju’” ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

“sesusuan” ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

“ta’liq” ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

“tak sahtaraf”, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuat kuasanya Enakmen ini;

“thayyib” ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

“wali Hakim” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mengahwinkan perempuan
yang tidak mempunyai wali dari nasab;

“wali Mujbir” ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948
dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.

(5) Mana-mana peruntukan atau tafsiran dalam Enakmen ini yang berlawanan dengan Hukum Syarak adalah tidak sah setakat
mana ia berlawanan.

(6) Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dengan jelas atau mana-mana peruntukan yang tidak menyatakan apa-apa perkara dengan jelas dalam Enakmen ini, Mahkamah hendaklah merujuk kepada Hukum Syarak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.