ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN PERKARA YANG BERKEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 52. Fatwa yang berhubung dengan kepentingan nasional


(1) Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 48, apabila Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.

(2) Selepas menimbang teliti perkara itu, Majlis boleh membuat syor kepada Yang di-Pertuan Besar untuk mendapatkan perkenannya agar fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa hendaklah disifatkan berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu berhubung dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensinya.

(4) Jika Yang di-Pertuan Besar memberikan perkenannya di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

(5) Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

(6) Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa ubah suaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis setelah berunding dengan Jawatankuasa fatwa boleh menimbangkan nasihat dan syor itu dan sesudah itu boleh menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian, dan peruntukan seksyen 49, kecuali subseksyen 49(6), hendaklah terpakai baginya.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertai dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.