ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN PERKARA YANG BERKEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 49. Tatacara membuat fatwa


(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, memaklumkan fatwa yang telah disediakan itu kepada Majlis.

(4) Jawatankuasa Fatwa hendaklah membuat syor kepada Yang di-Pertuan Besar untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar, Jawatankuasa fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(6) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertai dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(7) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(8) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh dikira suatu fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta mengikut subseksyen (5).



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.