ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN IX - MEMELUK AGAMA ISLAM



Seksyen 111. Pendaftaran muallaf


(1) Seseorang yang telah memeluk agama Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan supaya didaftarkan sebagai muallaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak seksyen 107 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, Pendaftar boleh mendaftarkan pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dengan mencatatkan ke dalam Daftar Muallaf nama pemohon itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki dalam Daftar Muallaf.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya tentang hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon dan butir-butir lain yang hendak dicatatkan dalam Daftar Muallaf, Pendaftar boleh membuat apa-apa siasatan dan meminta apa-apa keterangan sebagaimana yang difikirkannya perlu; tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung pada kata-kata pemohon setakat yang berkenaan dengan hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak seksyen 107 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucapkan, di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak seksyen itu.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.