ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 67. Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah


(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

(2) Apabila suatu rayuan daripada suatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang yang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah itu hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.