ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003
BAHAGIAN VIII - PUNGUTAN KHAIRAT
Seksyen 106. Pungutan khairat
(1) Majlis boleh memungut atau, dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis, membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang, dengan apa-apa terma yang difikirkan patut oleh Majlis, memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi manfaat orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.
(2) Maka hendaklah disifatkan sebagai suatu terma bagi tiap-tiap kebenaran yang diberikan di bawah subseksyen (1) bahawa penerima kebenaran itu dan tiap-tiap orang lain yang dibenarkan melaluinya untuk memungut wang atau sumbangan lain hendaklah—
(
a
) mengeluarkan berkenaan dengan tiap-tiap jumlah wang yang dipungut sedemikian suatu resit mengikut nombor siri dalam bentuk yang ditetapkan;
(
b
) menyimpan akaun-akaun yang benar dan lengkap bagi semua jumlah wang yang dipungut sedemikian dan tentang pelupusannya, dengan semua baucar yang sepatutnya;
(
c
) mengemukakan apabila dituntut kaunterfoil resit dan semua akaun dan baucar itu bagi pemeriksaan dan pengauditan oleh Majlis; dan
(
d
) menggunakan dan melupuskan semua jumlah wang yang dipungut sedemikian mengikut terma-terma kebenaran itu atau, jika tiada cara untuk melupuskan wang itu dibenarkan dengan nyata oleh surat kebenaran itu, membayar dan mengakaunkannya kepada
Baitulmal
.
(3) Wang yang dipungut menurut seksyen ini bolehlah digunakan bagi apa-apa maksud yang ditentukan oleh Majlis, dan jika tiada maksud ditentukan sedemikian, hendaklah menjadi sebahagian daripada
Baitulmal
.
(4) Tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pemungutan wang bagi apa-apa maksud yang disebut dalam subseksyen (1) kecuali dengan kebenaran nyata daripada Majlis atau menurut kuasa surat kebenaran di bawah subseksyen (1).
(5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (4) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.