ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988
BAHAGIAN V - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
Bab XVII - MENGENAI RAYUAN-RAYUAN KE MAHKAMAH RAYUAN
Seksyen 140. Prosedur untuk rayuan.
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen-seksyen 138 dan 139, mana-mana orang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan, hukuman atau perintah yang telah dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah Kadi di dalam satu kes jenayah atau perkara yang mana dia adalah satu pihak, bolehlah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan, hukuman atau perintah berkenaan atas apa-apa kekhilafan undang-undang atau fakta atau atas dasar hukuman yang berlebihan atau apa-apa hukuman yang dikatakan tidak memadai dengan memasukkan rayuan itu dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh keputusan, hukuman atau perintah berkenaan dikeluarkan atau dibuat, dengan memberi notis rayuan dalam tiga salinan kepada kerani Mahkamah Kadi berkenaan dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan dan pada masa itu membayar bayaran rayuan yang ditetapkan, jika ada.
(2) Tiap-tiap notis rayuan hendaklah mengandungi satu alamat di mana notis-notis atau dokumen-dokumen berhubungan dengan rayuan boleh disampaikan kepada pihak merayu atau peguamnya.
(3) Apabila satu notis rayuan telah dibuat maka Mahkamah yang ditujukan rayuan itu hendaklah membuat satu salinan alasan keputusan yang bertandatangan di dalam kes itu dan menyampaikannya kepada pihak merayu atau peguamnya dengan meninggalkan salinan itu di alamat yang disebutkan di dalam notis rayuan atau mengeposkannya dengan pos berdaftar ke alamat pihak merayu yang diberi.
(4) Dalam tempoh empat belas hari selepas salinan alasan-alasan keputusan telah disampaikan seperti yang diperuntukkan di dalam seksyen-kecil terdahulu pihak merayu hendaklah memasukkan satu petisyen rayuan kepada kerani Mahkamah Kadi di mana pembicaraan itu diadakan dalam tiga salinan dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan.
(5) Jika pihak merayu di dalam tempoh yang diperuntukkan dalam seksyen-kecil (1) membuat notis rayuan memohon satu salinan nota-nota keterangan yang direkodkan oleh Kadi semasa pembicaraannya dia hendaklah memasukkan petisyen rayuannya seperti yang diperuntukkan di dalam seksyen-kecil (4)-
(
a
) dalam masa yang telah diperuntukkan oleh seksyen-kecil itu; atau
(
b
)
dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh apabila satu notis ditinggalkan dialamatnya yang disebutkan menurut seksyen-kecil (2) bahawa satu salinan nota-nota keterangan boleh diberi dengan percuma,
mengikut mana-mana tempoh yang lebih lewat.
(6) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi keputusan yang dirayu, dan hendaklah mengandungi butir-butir yang jelas mengenai undang-undang atau fakta-fakta mengenainya rayuan terhadap hukuman Mahkamah dikatakan telah silap.
(7)
(
a
)
jikalau pihak merayu berada di dalam penjara dia hendaklah dianggap telah memenuhi keperluan-keperluan seksyen ini jika dia memberi kepada pegawai penjara yang bertugas notis rayuan sama ada secara lisan atau tulisan dan butir-butir yang perlu dimasukkan di dalam permohonan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh seksyen ini dan membayar bayaran rayuan yang ditetapkan.
(
b
) pegawai berkenaan hendaklah serta-merta mengemukakan notis petisyen berkenaan atau maksudnya bersama dengan bayaran rayuan, jika ada kepada kerani Mahkamah Kadi di mana pembicaraan diadakan.
(8) Di dalam kes rayuan oleh Pengarah Pendakwa atau Pegawai Majlis yang diberi kuasa khas bertulis oleh Pengarah Pendakwa bayaran tidaklah perlu dibayar.
(9) Jika sesuatu petisyen rayuan tidak dibuat di dalam tempoh yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditolak dan Mahkamah yang menjalankan pembicaraan hendaklah menguatkuasakan hukuman atau perintah telah dibenarkan, tetapi tiada apa-apa terkandung di dalam seksyen ini boleh menghadkan atau menyekat kuasa-kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Rayuan oleh seksyen 142.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.