ENAKMEN 3 TAHUN 2002
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (MELAKA) 2002
BAHAGIAN VII - PELBAGAI
Seksyen 38. Peraturan-peraturan.
(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis, membuat peraturan-peraturan bagi maksud melaksanakan peruntukan-peruntukan Enakmen ini.
(2) Tanpa menjejaskan keluasan kuasa yang diberikan dalam subseksyen (1), Yang di-Pertuan Agong boleh membuat peraturan-peraturan bagi atau berkenaan dengan semua atau mana-mana perkara yang berikut:
(a) penerimaan masuk murid ke sekolah agama, penyimpanan daftar murid di sekolah agama, had umur dan syarat yang membolehkan murid dikekalkan belajar di sesuatu sekolah agama;
(b) surat cara pengurusan sekolah dengan apa-apa pindaan atau ubahsuaian yang diperlukan supaya sesuai dengan mana-mana sekolah agama yang tertentu,dan cara bagaimana pindaan atau ubahsuaian dibuat kepada surat cara itu;
(c) kurikulum bagi sekolah agama;
(d) jenis dan standard buku-buku teks yang hendaklah digunakan di sekolah agama;
(e) pengawalseliaan peperiksaan yang akan diadakan dan perakuan-perakuan yang akan dikeluarkan;
(f) penubuhan, penyusunan, pengurusan, pengawalan dan pembubaran persatuan murid atau persatuan murid dan guru, atau persatuan guru dan ibu bapa sama ada di dalam atau di luar sekolah agama;
(g) tatatertib di sekolah agama dan apa-apa kegiatan murid, sama ada di dalam atau di luar sekolah agama;
(h) pengedaran oleh murid atau murid-murid, sama ada di dalam atau di luar sekolah agama, apa- apa majalah, risalah atau bahan bercetak atau bahan bertulis yang seumpamanya;
(i) kelayakan dan latihan guru-guru untuk sekolah agama;
(j) cara bagaimana kumpulan wang Jemaah boleh dibelanjakan dan cara dokumen, cek atau surat cara daripada apa-apa perihalan hendaklah ditandatangani atau dilaksanakan bagi pihak Jemaah;
(k) kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah mana-mana peraturan;
(l) borang yang hendaklah digunakan bagi maksud mana-mana peruntukan Enakmen ini; dan
(m) apa-apa perkara lain yang perlu atau suaimanfaat bagi mentadbirkan dengan sepatutnya sekolah-sekolah agama.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.