ENAKMEN 10 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN KEWANGAN
Baitulmal dan Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 82. Anggaran pendapatan dan perbelanjaan


(1) Majlis hendaklah menyediakan dan menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri, tidak lewat daripada 31 Oktober dalam setiap tahun, anggaran semua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk anggaran segala harta dan segala barang boleh lupus, berkenaan dengan tahun yang berikutnya.

(2) Pihak Berkuasa Negeri, boleh meluluskan anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya anggaran itu dipinda.

(3) Anggaran yang diluluskan, dengan atau tanpa pindaan di bawah subseksyen (2), hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Majlis boleh pada bila-bila masa menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang sebelumnya, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan, mengikut subseksyen (2) dan (3).

(5) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang, kecuali mengikut anggaran yang diperuntukkan dalam seksyen ini dan dengan berdasarkan baucar yang ditandatangani oleh Pengerusi atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa oleh Pengerusi.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.