ENAKMEN 2 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran


(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—


“anak dara” ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

“baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

“balu” ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

“bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

“duda” ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003;

“fasakh” ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

“Hakim Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 57(1) Enakmen Pentadbiran;

“Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah subseksyen 58(1) atau 59(1) Enakmen Pentadbiran;

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali;

“iqrar” ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa ia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;

“janda” ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

“kariah masjid”, berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, sempadan yang ditetapkan di bawah seksyen 2 Enakmen Pentadbiran;

“Ketua Pendaftar” ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 78(1) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya Mahkamah Rayuan Syariah yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55 (3) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“mas kahwin” ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

“mut’ah” ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

“nasab” ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

“Negeri” termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;

“Peguam Syarie” ertinya orang yang diterima di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran sebagai Peguam Syarie;

“pemberian” ertinya pemberian sama ada dalam bentuk wang atau benda-benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

“ruju’” ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

“sesusuan” ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

“ta’liq” ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

“tak sahtaraf”, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

“thayyib” ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

“wali Mujbir” ertinya bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas;

“wali Raja” ertinya wali yang ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dalam hal Negeri Selangor, oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab;

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.