ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 54. Perlantikan dan keanggotaan Mahkamah Rayuan Syariah.


(1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis yang hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Syarie, hendaklah melantik setiap tahun tidak lebih daripada tujuh orang lelaki Islam yang difikirkan patut dan wajar oleh Baginda untuk menjadi panel ahli yang tersedia Mahkamah Rayuan Syariah dan perlantikan itu hendaklah disiarkan dalam Warta.

(2) Sesuatu rayuan dalam Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah didengar dan diselesaikan oleh seorang Pengerusi dan dua orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Syarie.

(3) Ketua Hakim Syarie hendaklah menjadi Pengerusi setiap prosiding Mahkamah Rayuan Syariah dan hendaklah memilih bagi setiap prosiding dua orang di antara panel ahli yang tersedia untuk menjadi kuorum Mahkamah Rayuan Syariah dan ketiga-tiga orang yang menjadi kuorum itu hendaklah disifatkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bagi maksud Enakmen ini.

(4) Jika oleh kerana apa jua sebab Ketua Hakim Syarie tidak berkeupayaan mempengerusikan Mahkamah Rayuan Syariah, dia hendaklah memaklumkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang hendaklah melantik seorang di antara panel ahli yang tersedia untuk mempengerusikan Mahkamah itu.

(5) Jika oleh kerana apa jua sebab seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dipilih di bawah subseksyen (3) tidak berkeupayaan menjalankan tugasnya, dia hendaklah memaklumkan kepada Ketua Hakim Syarie yang hendaklah memilih seorang di antara panel ahli yang tersedia untuk menggantikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah itu.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.