ENAKMEN 2
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SEMBILAN) 2005

BAHAGIAN XI - PERUNTUKAN PERALIHAN



Seksyen 54. Pengesahan wakaf yang dibuat sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini.


(1) Walau apa pun subseksyen 92(2) Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1960 [En. No.15/1960] , perenggan 58(2)(a) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 [En. No. 1/1991] dan perenggan 91(2)(a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 [En. 10/2003], mana-mana orang yang, sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini, telah mewakafkan hartanya, atau orang yang diberi kuasa olehnya, atau jika orang yang telah mewakafkan hartanya telah meninggal dunia waris orang itu, atau pemegang amanah mawquf itu, hendaklah, dalam masa enam bulan daripada tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen ini, mendaftarkan mawquf itu menurut peruntukan Enakmen ini.

(2) Tertakluk kepada seksyen 50, jika orang yang disebut di bawah subseksyen (1) gagal mendaftarkan mawquf itu, Majlis hendaklah memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi mendaftarkan mawquf itu.

(3) Mana-mana mawquf yang telah diletakhakkan kepada Majlis sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah terus terletakhak kepada Majlis bagi maksud Enakmen ini.

(4) Mana-mana wakaf yang sah mengikut Enakmen yang terdahulu hendaklah terus sah bagi maksud Enakmen ini.

(5) Bagi maksud mengelakkan apa-apa keraguan, Enakmen ini hendaklah terpakai bagi harta yang diwakafkan sebelum permulaan kuat kuasa Enakmen ini.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.