ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002
BAHAGIAN IV - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MEREKA UNTUK MENYIASAT
Seksyen 63. Penggeledahan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama.
(1) Bilamana seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat sesuatu penyiasatan berpendapat bahawa pengemukaan apa-apa dokumen atau benda lain adalah perlu bagi penjalanan sesuatu penyiasatan mengenai apa-apa kesalahan yang dia diberi kuasa menyiasatnya dan ada sebab untuk mempercayai bahawa—
(a) orang yang kepadanya suatu saman atau perintah di bawah seksyen 42 telah atau mungkin akan dikeluarkan tidak akan atau mungkin tidak akan mengemukakan dokumen atau benda lain itu sebagaimana yang diarahkan dalam saman atau perintah itu; atau
(b) dokumen atau benda lain itu tidak diketahui berada dalam milikan mana-mana orang, maka pegawai itu boleh menggeledah atau menyebabkan penggeledahan dibuat untuk mencari dokumen atau benda lain itu di mana-mana tempat.
(2) Pegawai itu hendaklah, jika praktik, menjalankan penggeledahan itu sendiri.
(3) Jika dia tidak dapat menjalankan penggeledahan itu sendiri dan tiada orang lain yang kompeten untuk membuat penggeledahan itu hadir pada waktu itu, dia boleh mengarahkan mana-mana pegawai bawahannya membuat penggeledahan itu, dan dia hendaklah menyerahkan kepada pegawai bawahan itu suatu perintah bertulis yang menyatakan dokumen atau benda lain yang dicari itu dan tempat yang hendak digeledah itu, dan pegawai bawahan itu boleh sesudah itu menggeledah untuk mendapatkan benda itu di tempat itu.
(4) Peruntukan Enakmen ini tentang waran geledah hendaklah, setakat yang boleh, terpakai bagi penggeledahan yang dibuat di bawah seksyen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.