ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002
BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 8 - DARIHAL HUKUMAN DAN PELAKSANAANNYA
Seksyen 122. Peruntukan tentang hukuman denda.
(1) Jika apa-apa denda dikenakan maka, sekiranya tiada apa-apa peruntukan dalam undang-undang yang memperuntukkan pengenaannya, peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:
(a) dalam tiap-tiap kes mengenai sesuatu kesalahan yang baginya pesalah itu telah dihukum membayar denda, Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu boleh, menurut budi bicaranya, melakukan semua atau mana-mana perkara yang berikut:
(i) membenarkan masa untuk membayar denda itu;
(ii) mengarahkan pembayaran denda itu dibuat secara ansuran;
(iii) mengeluarkan suatu waran untuk melevikan jumlah itu melalui distres dan penjualan apa-apa harta kepunyaan pesalah itu;
(iv) mengarahkan bahawa sekiranya terdapat keingkaran membayar denda pesalah itu hendaklah menjalani hukuman pemenjaraan selama suatu tempoh tertentu, dan pemenjaraan itu hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman pemenjaraan yang lain yang mungkin dikenakan ke atasnya;
(b) tempoh yang baginya Mahkamah mengarahkan pesalah itu dipenjarakan kerana keingkaran membayar denda tidak boleh melebihi skala yang berikut:
(i) jika kesalahan itu boleh dihukum dengan pemenjaraan–
Jika tempoh maksimum pemenjaraan–
Tempohnya tidak boleh melebihi–
tidak melebihi enam bulan
tempoh maksimum pemenjaraan
melebihi enam bulan tetapi tidak melebihi dua tahun
enam bulan
melebihi dua tahun
satu perempat daripada tempoh maksimum pemenjaraan;
(ii) jika kesalahan itu tidak boleh dihukum dengan pemenjaraan—
Jika denda itu—
Tempoh tidak boleh melebihi—
tidak melebihi dua ratus ringgit
satu bulan
melebihi dua ratus ringgit tetapi tidak melebihi lima ratus ringgit
dua bulan
melebihi lima ratus ringgit
enam bulan;
(c) hukuman pemenjaraan yang dikenakan kerana keingkaran membayar denda hendaklah tamat bilamana denda itu sama ada dibayar atau dilevikan melalui proses undang-undang;
(d) jika, sebelum habis tempoh hukuman pemenjaraan yang ditetapkan kerana keingkaran membayar denda, apa-apa bahagian denda itu dibayar atau dilevikan sehinggakan tempoh pemenjaraan yang dijalani kerana keingkaran membayar denda itu adalah tidak kurang kadarnya berbanding bahagian denda yang masih tidak dibayar itu, maka hukuman penjara itu hendaklah ditamatkan;
(e) denda itu, atau mana-mana bahagiannya yang masih tidak dibayar, bolehlah dilevikan pada bila-bila masa dalam masa enam tahun selepas hukuman itu dijatuhkan, dan kematian pesalah itu hendaklah melepaskannya daripada denda itu.
(2) Waran untuk melevikan sesuatu denda boleh dilaksanakan di mana-mana tempat di Malaysia, tetapi jika ia dikehendaki dilaksanakan di luar Negeri Kelantan, ia hendaklah diendorskan bagi maksud itu oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.