ENAKMEN 1 TAHUN 2003
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003

BAHAGIAN III - PELANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA, JAWATANKUASA FATWA DAN FATWA YANG BERHUBUNGAN DENGAN KEPENTINGAN NASIONAL



Seksyen 51. Fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional.


(1) Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 47, apabila Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.

(2) Selepas menimbang teliti perkara itu Majlis boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapat perkenannya supaya fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.

(3) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apaapa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.

(4) Jika Duli Yang Maha Mulia Sultan memberikan perkenannya di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.

(5) Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.

(6) Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis hendaklah menimbang nasihat dan syor itu dan selepas itu bolehlah menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian dan peruntukan-peruntukan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.

(7) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.



Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.