ENAKMEN 3
ENAKMEN TAREKAT TASAWUF (NEGERI SEMBILAN) 2005

BAHAGIAN X - PERUNTUKAN PERALIHAN



Seksyen 33. Peruntukan peralihan bagi tarekat tasawuf.


(1) Mana-mana syeikh bagi tarekat tasawuf yang telah diamalkan, ditubuhkan, diuruskan atau dikendalikan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen ini hendaklah memohon untuk mendaftarkan tarekat tasawuf itu mengikut peruntukan-peruntukan Enakmen ini dalam tempoh enam bulan dari tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen ini atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang dibenarkan oleh Pendaftar.

(2) Sementara menanti permohonan pendaftaran yang disebut di bawah subseksyen (1) diputuskan, Pendaftar hendaklah mengeluarkan suatu Perakuan Pendaftaran sementara bagi tarekat tasawuf itu dan menetapkan apa-apa syarat ke atas Perakuan Pendaftaran sementara itu dan Perakuan Pendaftaran sementara itu hendaklah menjadi bukti yang mencukupi tentang pembuatan permohonan itu.

(3) Tarekat tasawuf yang baginya Perakuan Pendaftaran sementara telah dikeluarkan boleh terus diamalkan dan dalam hal keadaan itu tarekat tasawuf itu hendaklah disifatkan sah disisi undang-undang.

(4) Mana-mana orang yang melanggar apa-apa syarat yang ditetapkan ke atas Perakuan Pendaftaran sementara itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

(5) Jika permohonan pendaftaran di bawah subseksyen (1) ditolak, syeikh hendaklah menyerahkan atau menyebabkan supaya diserahkan Perakuan Pendaftaran sementara tarekat tasawuf itu kepada Pendaftar dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh keputusan penolakan permohonan pendaftarannya dimaklumkan.

(6) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (5) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

(7) Jika selepas pensabitan di bawah subseksyen (6) orang itu masih tidak menyerahkan Perakuan Pendaftaran sementara itu kepada Pendaftar, orang itu boleh dikenakan denda selanjutnya yang tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan itu.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.