ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN II - MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG



Seksyen 18. Memanggil mesyuarat.


(1) Semua mesyuarat Majlis hendaklah dipanggil oleh Setiausaha.

(2) Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha memanggil mesyuarat.

(3) Mana-mana empat orang ahli Majlis boleh pada bila-bila masa secara bertulis menghendaki Setiausaha memanggil mesyuarat Majlis dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha tujuan mesyuarat itu dipanggil.

(4) Setiausaha hendaklah memanggil mesyuarat dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diterima arahan atau kehendak di bawah subseksyen (2) atau (3), atau jika Yang Dipertua mengarahkan serta merta, sebaik sahaja menerima arahan tersebut atau kehendak tersebut.

(5) Sekurang-kurangnya tujuh hari notis bertulis hendaklah diberi mengenai mana-mana mesyuarat tetapi Yang Dipertua boleh, jika pada pendapatnya ada keperluan mendesak untuk memanggil suatu mesyuarat dengan notis yang lebih pendek, mengarahkan kehendak notis tujuh hari itu tidak perlu diikuti.

(6) Notis mesyuarat boleh dihantar melalui pos kepada ahli yang dialamatkan kepada alamat tempat tinggalnya yang terakhir diketahui dan hendaklah disifatkan sebagai telah disampaikan dengan cara pos.

(7) Tiada notis mesyuarat diperlukan untuk ahli yang pada masa itu sedang berada di luar Malaysia.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.