ENAKMEN 2
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SEMBILAN) 2005
BAHAGIAN VIII - KESALAHAN-KESALAHAN DAN PENALTI
Seksyen 37. Merosakkan tanaman.
(1) Mana-mana orang—
(a)
yang binatang ternakannya merayau-rayau di atas tanah wakaf dan merosakkan apa-apa tumbuhan atau tanaman yang diusahakan di atas tanah wakaf itu; atau
(b)
yang menyebabkan kerosakan kepada apa-apa tumbuhan atau tanaman yang diusahakan di atas mana-mana tanah wakaf, dengan apa-apa cara,
adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) supaya membayar kepada Majlis ganti rugi bagi kerosakan yang dilakukan atau disebabkan oleh orang itu atau binatang ternakannya.
(3) Apa-apa ganti rugi yang diperintahkan oleh Mahkamah boleh didapatkan mengikut apa-apa cara yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi mendapatkan denda yang dikenakan oleh Mahkamah atas sabitan.
(4) Walau apa pun subseksyen (2) dan (3), Majlis boleh menuntut ganti rugi daripada orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) dan jika ganti rugi itu tidak dibayar, ganti rugi itu boleh didapatkan melalui tindakan sivil sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada Majlis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.