ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 56. Penerusan prosiding dalam Mahkamah Rayuan Syariah walaupun ketiadaan Hakim.


(1) Jika semasa sesuatu prosiding dalam sesuatu rayuan atau pada bila-bila masa sebelum disampaikan hukuman, seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mendengar prosiding itu tidak berkeupayaan hadir dan menyelesaikan prosiding itu disebabkan sakit atau sebab-sebab lain, atau tidak berkeupayaan untuk menjalankan tugasnya sebagai Hakim Mahkamah itu, perbicaraan atau prosiding itu hendaklah, jika kedua-dua pihak bersetuju, diteruskan dan keputusan atau keputusan yang ditangguh, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah diberi oleh dua orang Hakim yang ada itu, dan Mahkamah itu hendaklah bagi maksud rayuan disifatkan sebagai telah sepenuhnya dianggotai walaupun dengan ketidakhadiran atau ketidakupayaan salah seorang daripada Hakim.

(2) Dalam mana-mana kes seperti yang disebut dalam subseksyen (1), rayuan hendaklah diputuskan oleh Hakim-hakim yang ada itu dan jika tiada keputusan sebulat suara, rayuan hendaklah didengar semula.

(3) Jika dibawah subseksyen (1) kedua-dua pihak tiada memberi persetujuan, atau lebih daripada seorang Hakim tidak berkeupayaan disebabkan sakit atau sebab-sebab lain untuk menghadiri dan menyelesaikan prosiding atau tidak berkeupayaan untuk menjalankan tugasnya sebagai Hakim Mahkamah itu, rayuan itu hendaklah didengar semula.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.