ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN IV - PENDAKWAAN DAN PERWAKILAN



Seksyen 55. Ketua Pendakwa dan Pendakwa Syarie.


(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Menteri Besar, boleh melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah menjadi Ketua Pendakwa Syarie.

(2) Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah.

(3) Majlis boleh melantik orang-orang yang layak dan sesuai daripada kalangan anggota perkhidmatan awam Negeri Terengganu atau perkhidmatan bersama menjadi Pendakwa-Pendakwa Syarie.

(4) Pendakwa-Pendakwa Syarie hendaklah bertindak di bawah kawalan am dan arahan Ketua Pendakwa Syarie dan boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang diberikan kepada atau yang boleh dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie, kecuali hak dan kuasa yang dinyatakan hendaklah dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie sendiri.

(5) Orang yang, sebelum seksyen ini mula berkuat kuasa, memegang jawatan Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie di bawah Enakmen terdahulu hendaklah, apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, terus memegang jawatan sebagai Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie seolah-olah dia telah dilantik di bawah seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.