ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
PERMULAAN KEPADA PERKAHWINAN
Seksyen 23. Poligami.
(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang perempuan lain di mana-mana tempat jua pun dalam masa dia masih beristerikan isteri yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis dari Mahkamah Syariah, dan jika ia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut, maka perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini, tertakluk kepada Seksyen 121.
(2) Sub-seksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Negeri Perlis seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Negeri Perlis dan perkahwinan di luar Negeri Perlis seseorang lelaki yang bermastautin dalam Negeri Perlis.
(3) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.
(4) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon supaya hadir dan memberi keterangan dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati-
(a)
bahawa pemohon akan berupaya memberi keadilan kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak;
(b)
bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c)
bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja engkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(d)
bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan
(e)
bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.
(5) Seseorang yang berkahwin bersalahan dengan sub-seksyen (1) hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.
(6) Acara bagi akadnikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan dalam Negeri Perlis di bawah Enakmen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.