ENAKMEN 5 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.


(1) Dalam Enakmen ini melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki erti yang lain-

"Jawatankuasa Peguam Syarie" ertinya Jawatankuasa yang dilantik di bawah Kaedah 4(1) Kaedah Peguam Syarie 1995;

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah" ertinya seorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 6D; "Hakim Mahkamah Tinggi Syariah" ertinya seorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 6B; "Ketua Hakim Syarie" ertinya seorang yang dilantik di bawah seksyen 6(1); "Mahkamah" ertinya Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah mengikut mana yang berkenaan;

"Mahkamah Adat" ertinya mana-mana Mahkamah selain daripada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963;

"meteri" ertinya suatu meteri yang diperuntukkan di bawah seksyen 21;

"Mufti" ertinya Mufti yang dilantik di bawah seksyen 9 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1963;

"Peguam" ertinya seseorang Peguam Syarie atau mana-mana peguambela dan peguamcara yang beragama Islam yang berdaftar dan mempunyai sijil amalan yang sah di bawah Akta Profession Undang-undang 1976 [
Akta 166] yang dibenarkan berguam di dalam Mahkamah oleh Majlis di bawah seksyen 25 dan termasuklah mana-mana pegawai beragama Islam yang dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26];

"Peguam Syarie" ertinya seseorang Peguam beragama Islam yang telah diberi surat kuasa oleh Majlis menurut seksyen 24;

"Negeri" ertinya Negeri Perlis;

"Pendakwa" ertinya Pendakwa Syarie dan termasuklah Timbalan Pendakwa Syarie yang dilantik menurut seksyen 6 (i) (b);

"Pegawai Penguatkuasa Syariah" mempunyai makna yang sama seperti "Pegawai Penguatkuasa Syariah" di bawah seksyen 2 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Perlis 1963;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Mahkamah yang dilantik di bawah seksyen 6 (i) (c) dan termasuklah Penolong Pendaftar;

"Undang-undang Islam Negeri" ertinya semua Undang-undang Islam bertulis yang berkuatkuasa di Negeri ini dan semua pindaan yang dibuat di bawahnya dari semasa ke semasa.

"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Majlis.

(2) Perkataan dan perbahasaan yang memberi erti lelaki termasuklah perempuan.

(3) Perkataan dan perbahasaan dalam bilangan tunggal termasuklah bilangan banyak dan perkataan dan perbahasaan dalam bilangan banyak termasuklah bilangan tunggal.

(4) Semua perkataan, perbahasaan, takrifan dan rangkaikata yang digunakan di dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dengan tertentu hendaklah ditakrifkan menurut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Tafsiran 1967.

(5) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu Bahagian atau Seksyen tertentu hendaklah diertikan kepada Bahagian atau Seksyen tertentu dalam Enakmen ini.

(6) Jika timbul sebarang persoalan atau pertikaian dalam mentafsir sesuatu perkataan, perbahasaan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah dalam bidang kuasa Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasaan atau rangkaikata sedemikian itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.