ENAKMEN 3
ENAKMEN TAREKAT TASAWUF (NEGERI SEMBILAN) 2005

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.


(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“ahli tarekat” ertinya mana-mana orang yang telah memberi baiah dan menerima talqin zikir daripada seseorang syeikh;

“Daftar” ertinya Daftar yang disenggara di bawah subseksyen 11(1);

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hambali;

“Jawatankuasa Fatwa” ertinya Jawatankuasa Fatwa yang ditubuhkan di bawah subseksyen 47(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 [En. 10/2003];

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 78(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003;

“Pegawai Penguat Kuasa Agama” ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 79 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan termasuk orang yang dilantik untuk membantu;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 4;

“pusat pengamalan tarekat tasawuf” ertinya manamana premis yang direkodkan dalam Daftar di bawah perenggan 11(1)(e);

“silsilah” ertinya suatu rangkaian para syeikh yang sah serta bersambungan terus sehingga Nabi Muhammad s.a.w.;

“syeikh” ertinya pemimpin suatu tarekat tasawuf, tidak kira apa jua gelarannya, dan termasuklah orang yang dipertanggungjawabkan oleh syeikh, yang diiktiraf di bawah subseksyen 8(1);

“tarekat tasawuf” ertinya suatu himpunan amalan yang disusun secara khusus oleh suatu kumpulan ahli tasawuf untuk diamalkan bagi memperoleh kebersihan zahir dan batin selaras dengan tuntutan tasawuf;

“tarekat tasawuf berdaftar” ertinya tarekat tasawuf yang didaftarkan di bawah Enakmen ini;

“tasawuf” ertinya kepatuhan yang sempurna kepada agama Islam, kebersihan jiwa daripada sifat-sifat yang cela dan tumpuan serta kebergantungan hati hanya kepada Allah S.W.T.

(2) Semua perkataan dan ungkapan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah masing-masing mempunyai pengertian yang diberikan kepadanya dalam Bahagian itu setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.



Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.