ENAKMEN 5 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1991
BAHAGIAN III - BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 8. Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(1) Di dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan yang boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana Undang-undang Islam Negeri dan boleh menjatuhkan hukuman atau membuat apa-apa keputusan atau perintah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang tersebut.
(2) Di dalam bidang kuasa sivilnya, mendengar dan memutuskan segala perbicaraan, tindakan atau perkara dalam mana kesemua pihak-pihak yang berkenaan beragama Islam dan yang berkenaan dengan-
(i) pertunangan, pernikahan, perkahwinan (termasuk taat balik), penceraian, khuluk (tebus talak), fasakh, menentukan giliran, lian, ilak (sumpah), perkahwinan yang tidak sah atau pemisahan yang dihukum oleh Mahkamah, atau mana-mana perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami isteri;
(ii) mana-mana penyelesaian, pembahagian atau tuntutan kepada mana-mana harta yang terbit dari mana-mana perkara yang tersebut di bawah perenggan (i) sub-seksyen ini;
(iii) nafkah orang-orang dalam tanggungan, pengesahan taraf kanak-kanak, penjagaan atau pemeliharaan kanak-kanak;
(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;
(v) menentukan nasab atau faraid orang-orang yang berhak mendapat bahagian pesaka;
(vi) wasiat-wasiat atau pemberian dari orang-orang yang beragama Islam pada ketika hendak mati;
(vii) wasiat, wakaf atau nazar;
(viii) pembahagian, pusakaan dan pentadbiran harta testate dan intestate; dan
(ix) perkara-perkara yang mana bidang kuasanya telah ditetapkan oleh mana-mana undang-undang bertulis;
Dengan syarat bahawa Mahkamah itu lazimnya, tidaklah membicarakan mana-mana kesalahan atau mendengar atau memutuskan mana-mana tindakan atau perbicaraan mengenai mana-mana Mahkamah Rendah Syariah mempunyai bidang kuasa.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.