ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN V - KEWANGAN
Wakaf, Nazar dan Amanah



Seksyen 67. Modal wakaf dan nazar.


(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), harta modal dan aset yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazar am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Majlis tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf dan nazar am itu dan dipegang sebagai dana yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab masa telah luput atau hal keadaan sudah berubah, tidak mungkin lagi dapat dijalankan dengan berfaedah peruntukan-peruntukan tepat mana-mana wakaf atau nazar am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya mengikut cara yang sehampir mungkin sama dengan dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazar am itu, dan hendaklah menggunakan harta dan aset itu dengan sewajarnya,

(3) Walau apa pun subseksyen (2), Majlis boleh, dengan kelulusan bertulis daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan, mengarahkan supaya harta dan aset yang disebut dalam subseksyen (2) itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Majlis.

(4) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazar am tidak menyatakan cara penggunaan harta modal dan aset yang tersentuh olehnya, atau tidak pasti daripada terma-terma itu bagaimana harta modal dan aset itu patut digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta modal dan aset itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Majlis.

(5) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazar am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.