Kn. P.U. 06/99 KAEDAH-KAEDAH MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN
(KELAKUAN DAN TATATERTIB) 1999 BAHAGIAN VI - PENAHANAN KERJA DAN PENGGANTUNGAN KERJA
Kaedah 45. Penahanan kerja bagi maksud penyiasatan.
(1) Walau apa pun apa-apa jua dalam kaedah-kaedah ini dan tanpa menjejaskan kaedah 44, Jawatankuasa Tatatertib boleh, bagi maksud memudahkan penyiasatan terhadap seseorang pegawai atau pengkhidmat yang dikatakan atau disyaki dengan munasabahnya telah melakukan apa-apa kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau telah melakukan pelanggaran tatatertib yang serius, menahan pegawai atau pengkhidmat itu daripada menjalankan tugasnya bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi satu bulan.
(2) Sebelum Jawatankuasa Tatatertib menahan seseorang pegawai atau pengkhidmat daripada menjalankan tugasnya di bawah subkaedah (1), faktor-faktor yang berikut hendaklah diberi pertimbangan:
(a) sama ada pengataan atau pelanggaran tatatertib yang disyaki itu adalah secara langsung berhubungan dengan tugas pegawai atau pengkhidmat itu; atau
(b) sama ada kehadiran pegawai atau pengkhidmat itu di pejabat akan mengendalakan penyiasatan.
(3) Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang berlawanan yang terkandung dalam kaedah-kaedah ini, seseorang pegawai atau pengkhidmat yang telah ditahan kerja di bawah subkaedah (1) adalah berhak menerima emolumennya semasa tempoh penahanan kerjanya itu.
(4) Jika, semasa tempoh penahanan kerja di bawah subkaedah (1),-
(a) prosiding telah dimulakan terhadap pegawai atau pengkhidmat itu dalam mana-mana mahkamah atas suatu pertuduhan jenayah; atau
(b) tindakan tatatertib diambil terhadapnya dengan tujuan untuk membuang kerja atau menurunkan pangkatnya di bawah kaedah-kaedah ini,
perintah penahanan kerja yang dibuat di bawah subkaedah (1) hendaklah secara automatik terhenti dari tarikh prosiding jenayah itu dimulakan atau tindakan tatatertib itu diambil; dan Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengambil apa-apa tindakan selanjutnya yang difikirkan patut di bawah kaedah 44.