N.S. P.U. 13/92
KAEDAH-KAEDAH PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1992

ATURAN 15 - PENZAHIRAN DAN PEMERIKSAAN DOKUMEN




Kaedah 4. Perintah untuk penzahiran dokumen-dokumen tertentu.

(1) Tertakluk kepada kaedah 5, Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, atas permohonan mana-mana pihak dalam sesuatu kausa atau perkara, membuat suatu perintah menghendaki mana-mana pihak lain supaya membuat suatu afidavit menyatakan sama ada apa-apa dokumen yang dinyatakan atau diperihalkan dalam permohonan itu atau mana-mana kelas dokumen yang dinyatakan atau diperihalkan sedemikian berada, atau pernah pada bila-bila masa berada, dalam milikan, jagaan atau kuasanya, dan jika ketika itu tidak berada dalam milikan, jagaan atau kuasanya, bila dia melepaskan dan apa yang telah terjadi padanya.

(2) Sesuatu permohonan minta perintah di bawah kaedah ini mestilah disokong dengan suatu afidavit yang menyatakan kepercayaan deponen bahawa pihak yang daripadanya penzahiran diminta di bawah kaedah ini mempunyai, atau pada suatu masa telah mempunyai, dalam milikan, jagaan atau kuasanya dokumen itu, atau kelas dokumen, yang dinyatakan atau diperihalkan dalam permohonan itu dan bahawa ia adalah berhubungan dengan satu atau lebih perkara yang berkenaan dalam kausa atau perkara itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.