N.S. P.U. 13/92
KAEDAH-KAEDAH PROSEDUR MAL MAHKAMAH SYARIAH 1992

ATURAN 12 - PINDAAN




Kaedah 1. Pindaan saman atau pliding dengan kebenaran.

(1) Mahkamah boleh pada mana-mana peringkat prosiding membenarkan plaintif meminda saman atau permohonannya, atau mana-mana pihak meminda surat guamannya, atas apa-apa terma tentang kos atau selainnya sebagaimana yang adil dan mengikut apa-apa cara (jika ada) sebagaimana yang diarahkannya.

(2) Surat guaman boleh dipinda dalam masa tidak kurang dari 4 hari sebelum pembicaraan tanpa izin Mahkamah atau pada bila-bila masa dengan izin Mahkamah.

(3) Sesuatu pindaan untuk memperbetulkan nama sesuatu pihak boleh dibenarkan walaupun ada dikatakan bahawa kesan pindaan itu ialah untuk menggantikan suatu pihak baru jika Mahkamah berpuas hati bahawa kesilapan yang hendak diperbetulkan itu adalah kesilapan yang tulen dan tidak mengelirukan atau hingga menyebabkan apa-apa keraguan yang munasabah tentang identiti orang yang bermaksud hendak mendakwa atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, dimaksudkan hendak didakwa.

(4) Sesuatu pindaan boleh dibenarkan walaupun kesan pindaan itu ialah untuk menambahkan atau menggantikan suatu kausa tindakan yang baru jika kausa tindakan yang baru itu berbangkit daripada fakta-fakta yang sama atau sebahagian besarnya adalah fakta-fakta yang sama seperti suatu kausa tindakan berkenaan dengannya relif telahpun dituntut dalam tindakan itu oleh pihak yang memohon kebenaran untuk membuat pindaan itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.